Pages

Tuesday, 14 February 2012

Zetty Syazleen Ismail

Profil Usahawan Pilihan
 
Zetty Syazleen Ismail
 
Pengarah Eksekutif 
 
One Drop Sdn Bhd



Sumber: Berita Harian

MEMBAHAGI masa antara keluarga dan kerjaya bukan sesuatu yang mudah untuk seorang wanita apatah lagi jika ia membabitkan dua negara beribu-ribu kilometer jauhnya.

Namun, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Zetty Syazleen Ismail sebelum ini tidak begitu dikenali ramai tetapi sejak haruman One Drop Perfumes (ODP) memasuki pasaran, namanya mula menjadi sebutan.

Malah, sebagai perintis yang mengkomersilkan wangian tanpa alkohol di Malaysia empat tahun lalu, One Drop Perfumes kini menjadi fenomena di kalangan masyarakat dengan namanya terus kukuh di pasaran wangian tempatan.

Haruman berkenaan salah satu cabang perniagaan Kumpulan One Drop yang turut terbabit dalam bidang pembuatan haruman, telekomunikasi, pembangunan harta, pembinaan, rangkaian kasut, pakaian serta perkhidmatan kewangan yang melangkau pasaran United Kingdom (UK) dan Eropah.

Wanita kecil molek berusia 32 tahun itu kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan One Drop namun dia mengakui perjalanan kariernya memang unik kerana semuanya berlaku tanpa dirancang.

Sewaktu kanak-kanak, Zetty bercita-cita menjadi peguam disegani dan membuka perniagaan sendiri.

Namun, cita-cita itu tidak kekal lama kerana sebaik selesai Sijil Pelajaran Malaysia, minatnya beralih kepada seni bina. Dia mengikuti pengajian Diploma Senibina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menyambung ke peringkat ijazah di Universiti Cardiff, UK.

Selepas tamat pengajian, Zetty berkata, dia tidak segera pulang ke tanah air sebaliknya bekerja di sana sebagai arkitek di sebuah syarikat terkemuka.

ODP adalah satu cabang perniagaan milik keluarga. Oleh kerana dia sentiasa ingin menggunakan pengetahuan yang diperoleh dan ingin belajar lebih banyak mengenai selok-belok perniagaan, dia menerima jawatan sebagai Pengarah Eksekutif One Drop Sdn Bhd di UK.

"Memang pada mulanya agak sukar memahami perniagaan berkenaan kerana ia bukan bidang saya tetapi dengan tunjuk ajar daripada keluarga, saya sedikit demi sedikit mempelajari selok-belok bidang ini.

"Selepas mendapat kepercayaan daripada lembaga pengurusan, saya menerima jawatan sebagai pengarah untuk memantau pasaran di UK terlebih dulu sebelum menyertai pengurusan untuk pasaran tempatan," katanya.

Mengenai cabaran bergelar pengarah eksekutif kumpulan, pada usia yang muda, Zetty berkata, dia menyukai kerjaya itu dan tiada masalah menguruskannya.

"Jika kita menyukai apa yang dilakukan, ia secara semula jadi akan menjadi mudah untuk diuruskan," katanya menambah, seluruh kumpulan syarikat itu kini memiliki seramai 150 kakitangan dengan 14 produk sehingga kini.

Dia mengakui bukan mudah menjadi seorang ketua wanita yang baik kerana selain fikiran sendiri, bos juga perlu mendengar pendapat kakitangan.

"Saya tidak berkeras dengan staf dan memberi mereka sepenuh kebebasan melakukan kerja kerana pekerja perlukankepercayaan daripada pihak atasan.

"Bagaimanapun, ada sesetengah perkara saya tidak akan berkompromi kerana tidak mahu mereka mengambil kesempatan.

"Amat mustahak untuk jadi seorang ketua yang fleksibel dan sesekali tidak salah berbual kosong selain daripada membincangkan soal kerja," katanya.

Zetty berkata, setiap hari dilalui adalah cabaran baru kerana dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada keesokan harinya.

Namun, cabaran paling hebat ketika melebarkan sayap perniagaan ODP ke pasaran UK. Dia terpaksa menukar pembungkus haruman itu bagi menepati cita rasa pasaran antarabangsa dan memastikan ia berada pada aras yang sama seperti jenama wangian popular lain.

Katanya, masyarakat Barat cerewet dalam membeli barangan kerana mereka mahukan produk berkualiti setanding harga yang dibayar.

"Bukan mudah untuk memperkenalkan haruman ini kepada masyarakat Barat kerana kami terlebih dulu perlu menjelaskan dengan mendalam mengenai kelebihan produk berkenaan kepada mereka.

"Namun, selepas mereka mencuba, rata-rata mereka memberi maklum balas positif kerana selain dijual pada harga yang berpatutan, ODP diterima kerana kualiti harumannya yang setaraf dengan wangian terkenal dan tahan lama," katanya

Rangkaian haruman ODP istimewa kerana formulasinya dihasilkan pakar dari Perancis menjadikan formula tanpa alkohol One Drop Perfumes sempurna tanpa menjejaskan keaslian wangian itu.

Zetty rasa bertuah kerana memiliki pakar yang pernah bekerja di bawah syarikat gergasi wangian jenama terkemuka antarabangsa dan kini bekerja di bawah One Drop.

"Kilang haruman ODP di negara sudah pun mempunyai taraf amalan pengilangan baik yang menjamin produk berkualiti, bersih, halal dan sentiasa dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya yang turut merancang mahu mengeluarkan beberapa produk baru tahun ini.

Berdasarkan pengalamannya, Zetty berkata, masyarakat di Eropah memegang teguh kepada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Mereka jarang menghabiskan waktu malam di pejabat semata-mata untuk menyiapkan tugasan. Pekerja di sana boleh membuat kerja dari rumah tanpa boleh dipersoalkan sekiranya berlaku kecemasan seperti anak atau anggota keluarga yang sakit.

"Tinggal di luar negara banyak memberi pengajaran kepada saya bahawa banyak yang perlu diutamakan selain tuntutan kerja.

"Memang wang penting untuk kesenangan tetapi ia bukanlah segala-galanya," katanya.

Wanita yang lahir dan dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Convent, sebelum memasuki Kolej Tunku Kurshiah.

Ketika kecil, dia tidak begitu menggemari patung mainan seperti kanak-kanak perempuan lain tetapi lebih kepadapermainan lasak seperti galah panjang dan selipar tiga.

Walaupun mengakui jarang mengalah dengan adik-beradiknya ketika itu, hubungan mereka sangat akrab kerana mereka bersekolah di sekolah rendah yang sama.

Katanya, oleh kerana sikapnya yang kasar serta jarang mahu mengaku kalah, kakaknya sering menjadi mangsa dan mengalah demi menjaga hatinya.

"Saya memang tegas dan jarang mengaku kalah sejak kecil. Sikap itu terbawa-bawa hingga sekarang kerana jika mahu melihat sesuatu itu berjaya, saya akan berusaha sedaya yang boleh," katanya.

Zetty turut mengakui, dia seorang wanita yang suka mengambil risiko dan mempunyai pemikiran sendiri. Jika berasa ada sesuatu yang tidak betul, dia pastikan suaranya didengari.

"Saya seorang yang sangat mudah didekati dan cepat mesra dengan orang meskipun baru dikenali.

"Jadi, saya memang tiada masalah bercampur dengan orang dari pelbagai latar belakang berbeza," katanya yang mengakui secawan kopi sehari mampu menceriakan harinya.

Biarpun terpaksa berulang-alik antara UK dan Malaysia dengan kerap, ia tidak memberi banyak masalah kepadanya kerana dia gembira dengan apa yang dilakukan sekarang.

Penat kerana terpaksa berbelas jam berada dalam penerbangan sedikit berkurangan kerana dia membawa bersama anaknya setiap kali pulang ke Malaysia.

"Selain dapat bertemu dengan keluarga, saya juga mahu anak membiasakan diri dengan kehidupan berkenaan," katanya.

Dia percaya keseimbangan terhadap kerjaya serta kehidupan peribadi amat penting tetapi pada masa sama, berasa amat bertuah kerana mempunyai suami yang sangat memahami.

Kebanyakan masanya dihabiskan di London untuk menguruskan perniagaan namun walau bagaimana sibuk sekali pun, dia tetap berusaha mencuri masa untuk keluarga tersayang dan teman rapatnya.

Dia tidak mempunyai pembantu rumah di London dan melakukan sendiri semua tugas termasuk mengemas rumah dan memasak untuk keluarga.

Oleh kerana Malaysia lapan jam ke depan berbanding waktu London, dia sudah biasa tidur lewat kerana perlu membuat panggilan atau menjawab e-mel dari Malaysia yang memerlukan jawapan segera.

"Jika ada masa terluang, saya dan suami membawa anak perempuan kami berusia empat tahun melancong ke pelbagai tempat menarik bagi mendedahkan dirinya dengan kepelbagaian budaya yang ada.

"Selain itu, saya sering keluar bertemu rakan sama ada sekadar untuk makan malam, membeli-belah mahupun menikmati rawatan spa bersama. Aktiviti sebegini bukan saja menghilangkan tekanan malah turut meluaskan rangkaian kenalan," katanya yang mengakui kecanggihan teknologi hari ini sedikit sebanyak membantunya untuk sentiasa berhubung dengan keluarga dan kakitangan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment