Pages

Tuesday, 14 February 2012

Norulnaha binti Abdul Razak

Profil Usahawan Pilihan
 
Norulnaha binti Abdul Razak
 
Pengarah Urusan
Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn Bhd



Sumber: Berita Harian

TIDAK rugi jika kita mempelajari kemahiran baru walaupun sudah bergelar profesional dan selesa dengan kerja sedia ada.

Siapa tahu, kemahiran baru yang kita pelajari itu mampu membuka satu lagi pintu rezeki kepada kita.

Itulah yang dibuktikan Norulnaha Abdul Razak, yang mana kira-kira 20 tahun lalu membahagikan masa antara tugasnya sebagai seorang guru, pada masa sama mengikuti kursus kecantikan di sebuah akademi di ibu negara untuk mendapatkan kemahiran hidup yang baru.

Yakin dengan potensi besar dalam bidang itu, beliau sanggup mencuri masa melengkapkan kursus kecantikan itu biarpun terpaksa mengambil tempoh agak lama iaitu lebih daripada tiga tahun kerana melakukannya secara sambilan.

Ternyata usahanya tidak sia-sia, Diploma Kecantikan yang diperoleh dari Dewi Ayu Akademi di Taman Tun Dr Ismail dengan bayaran kursus RM3,000, benar-benar mengubah kehidupannya .

"Saya nampak bidang ini ada potensi ekonomi yang besar. Daripada pengamatan sendiri, saya dapati orang tidak berkira sangat mengeluarkan wang ringgit asalkan mereka kelihatan cantik.

"Jadi kenapa tidak saya menceburi perniagaan ini," katanya ketika ditemuinya di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Keazamannya untuk menceburi perniagaan dalam bidang itu juga disebabkan di waktu awal pembabitannya dalam bidang perniagaan kecantikan pada 1980-an, tidak ramai usahawan Bumiputera yang mengusahakan pusat rawatan kecantikan, salun rambut dan spa meskipun perniagaan itu memberikan pulangan lumayan.

"Saya merasakan bidang ini bukan sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan, ia hanya memerlukan sedikit kemahiran, jadi kenapa kita tidak melakukannya," katanya yang turut memiliki sijil kemahiran solekan dan gaya rambut yang membolehkannya menawarkan latihan dalam bidang itu.

Sebaik mendapat kemahiran dalam bidang yang diminatinya dan berbekalkan Diploma Kecantikan, beliau terus memanfaatkannya untuk menambahkan pendapatan.

"Saya mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi dalam hidup. Inginkan rumah sendiri misalnya biarpun mempunyai suami, mahukan bangunan sendiri dan sebagainya.

"Inilah yang mendorong saya untuk memulakan perniagaan," katanya.

Disebabkan misi dan wawasan yang tinggi itu jugalah, beliau terus berusaha mempunyai perniagaan sendiri biarpun bermula secara sambilan dan pada skala kecil.

Norulnaha yang kini ialah Pengarah Urusan, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn Bhd yang ditubuhkannya pada 2000 selepas bersara daripada guru, sebenarnya bermula hanya secara kecil-kecilan di rumahnya di Bangi.

"Pada mulanya saya hanya menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan kepada kenalan rapat di rumah sendiri dan juga dari rumah ke rumah.

"Namun dalam masa singkat, sambutan diterima amat memberangsangkan dan rumah saya sentiasa penuh dengan pelanggan sehingga menyebabkan saya terpaksa membuka kedai dengan modal RM500 saja," katanya menceritakan pembabitan awalnya dalam industri kecantikan sehingga menjadi antara usahawan wanita berjaya pada hari ini.

Modal RM500 itu katanya, digunakannya untuk membeli dua katil dan dua troli bagi melakukan rawatan wajah serta bahan rawatan kecantikan di kedainya.

Pada peringkat awal beroperasi di kedai itu, beliau mengakui tugasnya sebagai guru ketika itu menyebabkan masanya agak terhad dan sukar baginya membuka cawangan di tempat lain meskipun ada keperluan bagi tujuan itu.

Tidak mahu tugasnya di sekolah membataskan program pengembangan perniagaannya, Norulnaha mengambil keputusan membangunkan satu prosedur operasi seragam (SOP) bagi salun kecantikannya itu.

"Apabila sudah ada SOP, saya tidak perlu ada di kedai sepanjang masa. Saya boleh melatih orang lain untuk melakukan rawatan berdasarkan SOP yang saya bangunkan itu.

"Hasil daripada usaha itu juga, saya berjaya membuka cawangan di Klang dan Temerloh," katanya.

Malah dengan SOP yang dibangunkan itu juga, beliau kini boleh menawarkan peluang perniagaan sebagai usahawan spakecantikan kepada orang lain menerusi konsep francais.

Hari ini, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa miliknya turut mengeluarkan produk sendiri serta menjadi pemegang lesen produk dan francais Malaysian Holistik Spa di bawah jenama Nu´della.

Produk jenama Nu´della yang dihasilkan mengikut prinsip Islam itu kini digunakan di 16 rangkaian Butik KecantikanAinaa-Ailaa di seluruh negara.

Malaysian Holistik Spa turut memiliki hak intelek bagi program rawatan spa `Tuah Body Therapy´ untuk lelaki, pakej rawatan spa `Teja Body Therapy´, Seri Ratu dan Permaisuri untuk wanita.

Anak syarikat Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa iaitu Nu´della Image Sdn Bhd pula mengendalikan akademi kecantikan, Nu´della Akademi yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang kecantikan.

Kepelbagaian perniagaan itu membolehkan Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa yang mengambil sempena anak Norulnaha sendiri, muncul menjadi sebuah perniagaan dengan pulangan jutaan ringgit.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengecap kejayaan seorang sendiri yang mendorongnya membuka Nu´della Akademi.

Langkahnya membuka sekolah latihan dalam bidang kecantikan itu antaranya bagi membuka peluang kepada lebih ramai lepasan mendapat kemahiran dalam bidang itu.

"Saya mahu mengubah persepsi masyarakat kita yang menganggap bidang kemahiran ini sebagai laluan kedua kepada mereka yang tidak cemerlang dalam pelajaran.

"Sebenarnya ini salah, dengan kemahiran itu mereka boleh membuka perniagaan sendiri yang mampu memberikan pulangan lumayan," katanya.

Malah katanya, ada juga pelajar yang mengikuti kursus di akademi itu adalah lulusan universiti yang kini sudah berjaya membuka salun kecantikan sendiri.

Mengenai rahsianya terus maju dalam bidang itu, Norulnaha menjelaskan usahawan dalam bidang itu perlu sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan baru dan melakukan penyelidikan pasaran.

"Kita perlu tahu apakah teknologi terkini yang digunakan, mesti tahu corak permintaan industri dan menjadi peneraju pasaran," katanya.

Selain itu, beliau juga berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu perniagaan itu perlu diwariskan kepada anak-anaknya supaya perusahaan yang dibangunkannya terus berkembang sampai bila-bila.

"Saya ingin membudayakan perniagaan itu adalah kehidupan," kata ibu empat anak itu.

Kejayaannya juga menyebabkan spa kecantikan miliknya yang beroperasi di bangunan milik sendiri yang dibelinya pada 1998 itu turut diintai pelabur luar negara yang berminat dengan konsep francais yang dibangunkannya.

Dengan cara itu, katanya beliau meninjau pasaran luar negara terutama di negara Islam bagi memperkenalkan konsepspa kecantikan berlandaskan Islam di bawah sistem francais.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih pada peringkat perbincangan dan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia membabitkan pelaburan yang besar.

"Apa yang saya ingin lakukan adalah dengan menjadi francaisor yang mana dengan cara ini saya dapat memperkenalkan konsep spa Malaysia di luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment