Pages

Tuesday 22 November 2011

Nazar Ishak

Profil Usahawan Pilihan

Sumber : 2011, Berita Harian.
Syarikat : Cemara Food Industries.




Cip nanas Johor tembusi pasaran Asia

Selepas menembusi pasaran eksport ke Asia Barat dalam tempoh enam bulan operasinya, Cemara Food Industries Sdn Bhd, kini mengintai peluang untuk menerjah pasaran China pula.

Pengarah Urusan Cemara Food, Mohd Nazar Ishak berkata permintaan mencapai dua tan sebulan dari Asia Barat terhadap kerepek nenas yang dikeluarkan syarikat itu, meningkatkan keyakinan pihaknya untuk meluaskan pasaran ke China bulan depan.

Kejayaan syarikat itu bermula dengan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) tahun lalu, sebelum mula menghasilkan cip nanas mulai awal tahun ini.

Selain memasuki pasaran tempatan, Cemara Food mengambil langkah berani untuk menerokai pasaran Asia Barat. Bermula Januari tahun lalu, pihaknya sudah menghasilkan kira-kira empat tan cip nanas sebulan dengan tiga kontena untuk dieksport ke Asia Barat.

“Kebanyakan pembekal dari negara Asia Barat amat gemarkan makanan serta produk berasaskan nenas. Apabila kami menghasilkan cip sebegini secara tidak langsung turut menarik minat dan perhatian mereka terhadap rangkaian yang ada sehingga menerima permintaan yang tinggi dan memberansangkan.

“Malah, pada bulan depan pula kami akan ke Nanning, China untuk melebarkan sayap dalam perniagaan dan jualan cip nanas sekali gus berharap mendapat permintaan lebih baik lagi daripada peminat makanan ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui di Kilang Penghasilan produk cip nanas di Pontian, Johor, baru-baru ini.

Syarikat berkenaan antara lain juga bakal beroperasi di Kepala Batas, Pulau Pinang selewat-lewatnya pada tahun depan berikutan bekalan nanas juga turut diperoleh daripada ladang di Kulim dan Baling di Kedah seluas 120 hektar selain beberapa pekebun kecil di sekitar Johor termasuk Pontian.

Mohd Nazar berkata, idea untuk menghasilkan cip nanas timbul selepas mengetahui wujud banyak lambakan buah-buahan termasuk nanas yang tidak dapat dijual sehingga mendatangkan pembaziran sebelum pihaknya sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna daripada lambakan terbabit.

“Alhamdulillah, menerusi idea ini akhirnya membolehkan kami menghasilkan cip nanas yang digemari ramai, malah lambakan nanas berkenaan juga sebenarnya dapat digunakan pada ternakan seperti lembu yang boleh memakan kulit nanas selepas proses kupasan dan potongan untuk dijadikan cip.

Katanya, walaupun bakal beroperasi di Pulau Pinang tidak lama lagi, pihaknya masih lagi meneruskan operasi kilang di Pontian yang kini lebih terarah kepada penghasilan produk selain membuat pemasaran ke atas produk cip nanas yang perlu melalui 10 proses dalam masa tiga hari sebelum boleh dieksport.

Beliau berkata, antara proses menghasilkan cip nanas ialah mengupas dan menyejuk; memotong kepada saiz yang sama dan endaman bersama glukosa sebelum digoreng dalam tiub dan ditinkan.

Katanya, proses untuk menghasilkan produk berkenaan bermula dengan mencuci nanas terlebih dahulu sebelum mengupas menggunakan mesin khas yang dibeli dari Thailand supaya ia lebih mudah dipotong.

“Ketika dipotong, ia masih dikendalikan dengan mesin khas supaya saiz yang dihasilkan sama. Saiz sama adalah amat penting sewaktu menggoreng dalam tiub supaya warna dan teksturnya tidak berlainan daripada yang lain.

“Selepas itu, nanas berkenaan akan melalui laluan air panas bertujuan membunuh kuman dalam tempoh masa lima minit pada suhu 100 darjah Celcius sebelum ia disejukkan dalam bilik sejuk beku pada suhu -20 darjah celcius semalaman, katanya.

Mohd. Nazar berkata, selepas semalaman berada di bilik sejuk beku, nanas berkenaan direndam di dalam cecair glukosa untuk megekalkan bentuk dan teksturnya selepas proses penyejukan dengan suhu tiga darjah Celcius.

“Selepas itu, nanas dimasukkan ke dalam tiub menggoreng selama 90 minit pada suhu 90 darjah Celcius dan di sini kita boleh melihat ia digoreng secara sama rata sehingga menghasilkan warna kuning-kekuningan.

Akhir sekali, ia akan melalui proses membuang minyak yang diletakkan dalam mesin khas dengan wapnya disalurkan ke saluran khas sebelum ia boleh dibungkus dengan berat bersih 50 gram dengan harga RM5 saja” katanya.

-Berita Harian

No comments:

Post a Comment