Pages

Tuesday 22 November 2011

Mohd. Farhan Sabli

Profil Usahawan Pilihan

Sumber : January 5th 2011, Utusan Malaysia.
Syarikat : Lanbaharin Boutique.




Pilihan untuk lelaki

APABILA berbicara tentang fesyen, sering kali wanita akan dikaitkan dalam perkara ini dan biasanya hanya wanita sahaja yang dikatakan arif tentang fesyen.

Seiring dengan zaman kemajuan teknologi, lelaki pada masa kini juga tidak ketinggalan dalam berfesyen dan tidak kurang juga yang berani bermain dengan warna apabila mengenakan pakaian.

Bagi kaum lelaki yang inginkan kelainan dalam berfesyen, butik Lan Baharin mungkin dapat memenuhi cita rasa mereka.

Menggunakan khidmat pereka sendiri, pakaian lelaki di butik ini mencipta kelainan tersendiri dengan menghasilkan rekaan corak mengikut kehendak pelanggan

Menurut pengurus butik Lan Baharin, Mohd. Farhan Sabli, fabrik yang biasa digunakan di butik tersebut adalah daripada jenis linen sama ada yang diimport ataupun daripada pasaran tempatan.

"Kami mengutamakan fabrik yang bermutu tinggi seperti linen dan pakaian yang dihasilkan juga lebih kepada konsep kasual dan formal.

"Pakaian yang dihasilkan di sini juga adalah daripada idea kami sendiri dan kami menggunakan lima tukang jahit bagi merealisasikannya," katanya.

Antara pakaian lelaki yang dihasilkan butik ini adalah kemeja linen lengan panjang bercorak.

Kemeja ini sesuai dipakai untuk majlis-majlis formal dan bagi mereka yang sukakan warna, kemeja ini mungkin akan menjadi pilihan utama.

Kemeja linen lengan pendek bercorak jam tangan juga sesuai digayakan sama ada di majlis formal ataupun kasual.

Kemeja jenis abstrak sebegini sentiasa menjadi tumpuan golongan lelaki matang yang sentiasa inginkan kelainan.

Menurut Farhan, corak abstrak pada setiap baju biasanya sangat rumit dilakukan dan ia memakan masa yang agak lama iaitu tiga hingga empat hari untuk disiapkan.

"Biasanya corak abstrak sebegini lebih sesuai digunakan untuk majlis formal seperti makan malam dan majlis rasmi.

"Pelanggan kebanyakannya lebih sukakan corak abstrak yang kelihatan eksklusif. Ada juga pelanggan yang inginkan corak abstrak mengikut cita rasa mereka sendiri," jelasnya.

Kemeja lengan pendek viscose mungkin akan menjadi pilihan bagi yang gemarkan gaya kasual dan santai. Kemeja tanpa corak ini sesuai digayakan dengan jeans dan membuatkan si pemakai kelihatan bergaya walaupun dalam keadaan santai.

Rekaan fesyen ala-kurta pula khusus untuk menonjolkan ciri-ciri seperti fesyen baju Melayu. Biasanya rekaan ini lebih digemari pelanggan lantaran potongan yang berkonsepkan islamik dan sesuai digayakan ke majlis yang lebih kasual.

Butik Lan Baharin bukan sahaja menyediakan pakaian untuk golongan lelaki, bahkan pakaian dan aksesori wanita juga tidak ketinggalan seperti kasut dan beg tangan. Harga yang ditawarkan di butik berkenaan juga amat berpatutan iaitu dalam lingkungan RM100-RM300 sahaja.

Kepada mereka yang berminat dengan fesyen yang ditonjolkan oleh butik Lan Baharin, anda boleh berkunjung sendiri ke butik tersebut di lot 80, Jln. Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

-Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm

No comments:

Post a Comment