Monday, 12 March 2012
Rezeki usahawan madu lebah
SHAIFUL HIZAM menunjukkan koloni lebah yang diusahakan di ladang Carambola Bee Farm yang terdapat di beberapa tempat seperti Semenyih, Selangor dan Parit Sikom, Simpang Renggam, Johor.
TIGA tahun lalu, Shaiful Hizam Harman pernah berkobar-kobar untuk menternak burung walit. Namun, hasratnya terbantut apabila dia kekurangan maklumat mengenai penternakan haiwan itu. Ternyata ada hikmah di sebalik semua itu, kerana selepas puas berfikir dia kemudian memilih untuk menternak lebah madu. “Sekitar 2007, memang saya terfikir untuk masuk dalam industri pemakanan kerana saya sendiri merupakan pengusaha gimnasium yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Saya lihat masyarakat moden hari ini lebih menitik beratkan pemakanan mereka. “Bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana selain kekurangan maklumat, saya mendapati permintaan untuk sarang burung itu pun lebih menjurus kepada pasaran China,” katanya.
Permintaan tinggi Namun begitu, tidak lama selepas itu dia teringat tentang khasiat madu seperti yang pernah dibacanya dalam hadis Rasulullah. “Saya mula membuat kajian tentang tawaran dan permintaan madu di seluruh dunia. Saya baca laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya. Kebanyakannya mendedahkan permintaan madu dari luar negara sangat tinggi sedangkan pengeluaran bahan itu sangat kurang. “Seperkara lagi, modal yang diperlukan untuk memulakan industri lebah madu masih kecil iaitu kira-kira RM12,000 berbanding RM250,000 untuk industri sarang burung walit,” katanya. Selama setahun, Shaiful mula melihat laman-laman web dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu di sekitar Selangor.
Hari ini, usahawan muda itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak. Lebah bersifat sensitif “Tidak susah untuk memulakan industri lebah madu. Ia boleh dibuat di belakang rumah atau ditumpang di kebun buah-buahan. Risikonya kurang kerana jika satu koloni lebah diserang penyakit seperti bakteria atau fungus, ia tidak berjangkit kepada koloni yang lain,” katanya. Pada pendapat beliau, lebah bersifat sensitif, amat mengenang jasa dan setia kepada tuan yang memeliharanya. “Saya pernah berhadapan dengan kesulitan kewangan pada awal tahun 2009. Apa yang saya buat tidak menjadi. Saya duduk di hadapan kotak-kotak lebah saya dan menceritakan masalah saya. Saya meminta lebah-lebah ini keluar untuk mendatangkan madu dengan jumlah yang banyak,” katanya. Beliau hampir menitiskan air mata apabila doanya dimakbulkan Allah, dengan lebah-lebahnya mengeluarkan berkilogram madu. “Saya hanya berada di kawasan ternakan lebah dua atau tiga kali seminggu. Tetapi mungkin lebih kerap jika perlu menguruskan pemindahan lebah ke tempat baru. Sekali
pergi saya akan berada untuk tempoh sejam atau dua bagi menguruskan semua koloni lebah,” katanya.
Beliau berharap orang ramai agar membuka mata terhadap industri yang amat berpotensi itu. Di Malaysia, madu yang terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia (sejenis pokok kayu balak), nanas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat. Ia menyamai madu dari New Zealand yang terhasil daripada lebah-lebah yang terbang mencari manisan dari pokok manuka. Pada masa ini, Shaiful hanya menjual madu yang dibotolkan dengan jenama Madu Tree secara dalam talian pada harga RM44 bagi 500 gram berbanding RM98 (500 gram) madu yang diimport.
Labels:
Penternakan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment