6 OKTOBER 2008 - HARIAN METRO
SRI Sutra Travel Sdn Bhd (Sri Sutra), agensi pelancongan Bumiputera pertama yang memperkenalkan konsep francais merancang untuk melahirkan 35 usahawan francais dalam tempoh lima tahun di 35 lokasi utama di seluruh negara.
Berdasarkan sambutan dan pertanyaan yang diterima oleh usahawan, Sri Sutra menjangka akan mewujudkan semua usahawan francais itu dalam tempoh tiga tahun.
Pengarah Urusannya, Syed Mohd Razif Al Yahya, berkata pengenalan konsep francais dalam industri pelancongan bertujuan untuk membantu usahawan Bumiputera menceburi dalam industri berkenaan berdasarkan acuan dan sistem pengurusan lengkap yang disediakan Sri Sutra.
Beliau berkata, industri pelancongan kini banyak menyediakan peluang perniagaan sampingan tetapi ia tidak menyediakan sistem yang lengkap untuk memajukan industri itu.
“Bagi menjadikan konsep pemasaran francais ini dengan lebih berkesan, kami menyediakan perancangan lengkap termasuk sistem pengurusan yang tersusun selain faktor lokasi yang strategik.
“Kami mengehadkan 35 usahawan francais itu berdasarkan 35 lokasi strategik yang sudah dikenal pasti menarik tumpuan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan dan produk pelancongan yang di tawarkan Sri Sutra,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, cawangan francais itu akan menggunakan jenama Sutra dan segala pengurusan dan sistem akan diuruskan oleh anak syarikat Sri Sutra, Sutra Francais Sdn Bhd.
“Berdasarkan pengalaman 26 tahun dalam industri ini, kami yakin dapat menguruskan 35 usahawan francais itu ke tahap yang boleh dibanggakan,” katanya.
Buat masa ini, pihaknya sudah melantik seorang usahawan untuk mengendalikan cawangan francais Sutra di Senawang, Negeri Sembilan.
Syed Mohd Razif berkata, lokasi cawangan francais Sutra akan ditempatkan sama ada di ibu negeri atau bandar kedua terbesar setiap negeri.
Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Kangar (Perlis); Alor Star, Sungai Petani dan Pulau Langkawi (Kedah); Georgetown dan Seberang Prai (Pulau Pinang); Ipoh dan Taiping (Perak), Petaling Jaya, Kajang, Bangi, Puchong dan Shah Alam (Selangor) dan Bandar Melaka (Melaka).
Selain itu, lokasi lain ialah di Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Segamat dan Mersing (Johor); Kota Bharu (Kelantan); Kuala Terengganu (Terengganu)l; Kuantan (Pahang); Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu (Sarawak); Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan (Sabah) dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Usahawan yang berminat perlu menyediakan kos keseluruhan sebanyak RM190,000 bagi penyediaan sistem, ubah suai pejabat, program latihan dan peruntukan kewangan hadapan sehingga enam bulan.
Syed Mohd Razif berkata, Sri Sutra kini menyediakan kira-kira 20,000 produk pelancongan serta 200 pakej pelancongan untuk di tawarkan oleh usahawan francaisnya.
No comments:
Post a Comment