Pages

Thursday 3 November 2011

RAZAK GUBAH BUNGA UNTUK ARTIS HOLLYWOOD


Razak Ahmad


BUNGA lazimnya dikaitkan dengan kaum wanita, daripada menanam bunga di laman, menghias sanggul hingga kepada menggubah bunga untuk hiasan rumah bagaikan satu perkara wajib, tidak kira untuk yang bujang, berkahwin, muda mahupun sudah berumur.

Sifat bunga yang cantik, wangi dan mempunyai unsur tenaga, semangat dan penyeri menjadikan bunga begitu sinonim dengan keadaan yang serba indah dan mengindahkan. Malah, kita juga digalakkan kita memberi bunga kepada orang yang sakit kerana ‘kekuatan’ yang ada pada bunga tersebut sedikit sebanyak berupaya memberi kesegaran kepada orang sakit.

Kini bunga bukan saja dikaitkan dengan wanita, malah ia juga semakin sinonim dengan kaum Adam terutama daripada aspek kreativiti penggubahan bunga. Malah khidmat gubahan bunga kini menjadi satu perniagaan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan buat mereka yang mengusahakannya secara serius.

Buktinya, jejaka kelahiran Batu Pahat, Johor, Razak Ahmad, 46, kini namanya meniti di bibir orang kenamaan, korporat, bakal pengantin dan perancang majlis, sebagai individu yang begitu kreatif dalam menghasilkan gubahan bunga yang indah dan mempersonakan. Hasil kreativiti Razak tidak perlu dipertikaikan, tambahan pula pengalamannya selama 18 tahun di luar negara banyak membantu dari segi menghasilkan idea gubahan yang segar, moden dan kreatif.

“Pada awalnya saya melihat ibu yang merupakan tenaga pengajar di Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), menggubah bunga dan mengajar masak kepada pelajarnya. Secara jujur, minat saya untuk menggubah bunga timbul dari situ,” jelasnya serius.

Sifat suka melihat negara orang dan peluang yang ditawarkan oleh seorang rakan di Brunei untuk menjaga kedai bunganya di sana merupakan titik tolak bagi Razak untuk lebih serius dalam bidang gubahan bunga. Menganggapnya sebagai satu cabaran, Razak mengorak langkah merantau lebih jauh dengan menjadi prep boy di sebuah syarikat penggubah bunga, Flowers By Byron di Chicago, Amerika Syarikat.

“Walaupun di sana tugas saya hanya menerima arahan daripada penggubah bunga, saya menjadikan ia sebagai satu sumber ilmu yang tidak ternilai dalam memajukan karier yang telah saya pilih. Bagi saya, apa saja yang kita lakukan mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan keghairahan dan minat yang mendalam,” jelas jejaka ini lagi.

Setelah menimba pengalaman dan mendapat rangkaian perniagaan yang baik, Razak mencuba nasib di sebuah syarikat, Flowers By Arrangement juga di Chicago, sebagai penasihat perkahwinan. Pada masa sama, beliau juga bekerja sambilan di beberapa syarikat lain seperti The Flower Firm, Kehoe Designs dan Virginia Wolf.

Setelah beberapa tahun di sana, Razak berhijrah ke Los Angeles apabila mendapat peluang berkhidmat dengan Kevin Lee di LA Premier, yang menjalankan perkhidmatan gubahan bunga untuk selebriti Hollywood dan movie premiers. Di LA Premier, Razak bukan sahaja terdedah dengan trend gubahan terkini, malah berpeluang menggubah bunga untuk beberapa selebriti terkenal seperti Cameron Diaz, Brad Pitt, Jennifer Aniston, Keanu Reeves, Anthony Hopkins dan ramai lagi.

“Perjalanan saya tidak diteruskan di situ, kerana inginkan lebih pengalaman dan pendedahan. Saya berhijrah ke Korea Selatan dan menetap selama lapan bulan di sana. Walaupun banyak yang dapat dipelajari, saya tidak dapat menetap lama di Korea kerana masalah komunikasi, kebetulan pula ibu saya minta saya pulang ke Malaysia dan memulakan perniagaan di tanah air sendiri,” cerita beliau.

Pulang ke Malaysia pada tahun 2004, memberi beliau masa untuk mengkaji pasaran gubahan bunga di negara ini.

“Ketika meninjau pasaran bunga di Malaysia saya dapati tidak banyak pilihan bunga berkualiti untuk dijadikan gubahan dan dekorasi. Dengan jaringan perniagaan yang pernah ada, saya bawa masuk bunga-bunga segar dan tiruan dari China dan Korea,” katanya.

Dengan kesungguhan, wang dikumpul dan pengalaman 18 tahun di luar negara, telah meyakinkan pihak Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk membiayai pembukaan kedai bunga dan perancang majlis yang diberi nama Flora, Etc…

Bertempat di Suite 2.07, The Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Razak memulakan tugasan pertamanya dengan menggubah bunga segar pada majlis perkahwinan Datuk Nazim Abdul Razak dengan personaliti TV popular, Datin Norjuma Habib Mohamad.

“Alhamdulillah, ramai yang terpegun melihat gubahan saya dan seterusnya saya mendapat promosi percuma dari mulut ke mulut. Selain mencipta gaya sendiri dan mewujudkan kelainan dalam setiap rekaan, saya berpuas hati kerana dapat menghasilkan sesuatu yang cantik dan hasilnya diiktiraf oleh orang yang menghargainya,” jelas Razak yang dianggap sebagai trendsetter dalam industri ini.

Bermula daripada perkahwinan VIP, Razak turut menjadi perancang majlis dan penggubah bunga untuk meraikan kerabat kerabat diraja, orang kenamaan dan untuk majlis keraian syarikat-syarikat korporat. Selain itu, beliau juga menghasilkan jambangan bunga untuk raja permaisuri, isteri-isteri menteri juga selebriti tanah air.

Kini, Razak juga berbangga melihat perubahan mentaliti rakyat Malaysia yang semakin ramai inginkan sentuhan penggubah bunga untuk majlis mereka. Walaupun hasil gubahannya untuk majlis bermula daripada RM3,000 ke atas, namun ia berbaloi dengan apa yang dipersembahkan berdasarkan pengalaman yang ada.

“Apa juga yang kita buat mesti disertai dengan keinginan yang kuat, selain jujur, ikhlas, saling membantu dan merendah diri. Keseriusan dalam karier dan percaya diri sendiri, adalah faktor utama yang membantu kejayaan kita,” katanyanya.





No comments:

Post a Comment