Pages

Tuesday 22 November 2011

Rohayu Ayub

Profil Usahawan Pilihan

Sumber: 2 hb October 2009, Utusan Malaysia.
Syarikat : Sabdariffa Enterprise.




Rohayu usahawan roselle

SAMBUTAN Aidilfitri kali ini bukan sahaja dirayakan dengan penuh kegembiraan kerana menyambut kemenangan mengharungi Ramadan, malah bagi Rohayu Ayub, beliau mahu mengambil kesempatan memajukan lagi perniagaannya.

Rohayu, 38, Pengarah Sabdariffa Enterprise, memberitahu, syarikatnya antara syarikat tempatan berasaskan roselle yang jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Namun usahanya menceburi bidang tersebut sejak 2005 semakin menampakkan kejayaan.

Beliau pada mulanya merupakan seorang tukang jahit. Kerana minatnya itu, dia hampir terlupa untuk meneroka bidang-bidang lain sehinggalah diperkenalkan dengan tanaman tersebut oleh seorang rakan.

"Saya terpikat dengan khasiat roselle,'' katanya mengukir senyum apabila ditemui di kilangnya di Desa Melor, Serendah, Selangor, baru-baru ini.

Beliau ketika itu sedang sibuk melayani tetamu yang bertandang dan menghidangkan makanan serta minuman berasaskan roselle.

Menghimbau semula liku-liku penglibatannya dalam industri tersebut, Rohayu menceritakan, beliau membuat pinjaman Mara sebanyak RM10,000 untuk memulakan perusahaannya serta mengikuti kursus asas keusahawanan.

Beliau memulakannya dengan menghasilkan produk pada Ogos 2005 selepas menjalankan kajian sendiri selama tiga bulan.

Rohayu bertuah kerana nasib sentiasa menyebelahinya meskipun cabaran datang menguji kesabaran.

Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu beliau.

Beliau bekerjasama dengan FAMA untuk program perladangan kontrak yang mana penanam roselle akan menjual hasil tanaman kepada agensi tersebut yang kemudian dibeli oleh beliau.

Syarikatnya memerlukan antara satu dan 1.3 tan bahan mentah sebulan untuk menghasilkan pelbagai produk.

Bersama MARDI, Rohayu menggunakan teknologi makanan yang dibangunkan agensi tersebut terutama hal berkaitan penghasilan makanan yang menggunakan bahan pengawet.

Beliau pada mulanya hanya menghasilkan produk roselle dengan membuat halwa yang dipelajari daripada ibu mertuanya sebelum menghasilkan banyak produk lain antaranya kategori minuman seperti pati roselle, jus sedia diminum.

Bagi kategori makanan, Rohayu berjaya menghasilkan halwa yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam ramuan membuat kek, muffin dan biskut manis (cookies).

Selain itu, beliau juga menghasilkan roselle kering untuk dijadikan serbuk.

Beliau juga merancang mengeluarkan produk baru iaitu kordial dalam bentuk paket. Dengan tiga kakitangan, Rohayu boleh berbangga dengan pencapaiannya ketika ini tetapi beliau mengucapkan penghargaan kepada agensi kerajaan yang membantunya.

"Satu ketika apabila krisis bekalan gula melanda, saya tidak dapat mengeluarkan produk dan terpaksa menghentikan operasi,'' katanya berkongsi pengalaman pahit satu ketika dulu.

Ketika masalah sama berulang baru-baru ini, beliau mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang membantunya supaya bekalan gula tidak terputus.

"Saya meminta mana-mana usahawan supaya tidak selalu mempercayai dakwaan kononnya agensi atau jabatan kerajaan sukar menghulurkan bantuan,'' ujarnya.

Sebagai contoh, selain agensi-agensi terbabit, Rohayu mendapat bimbingan daripada FAMA, SMI Corp (dulu Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana -SMIDEC), Majlis Pembangunan Ekonomi Belia dan menerima pinjaman peralatan kilang berjumlah RM20,000.

Beliau pada masa sama mendapat bantuan hasil usaha seorang pelangannya Shuhaila Saidon yang memperkenalkan konsep hamper barangan berasaskan roselle untuk ditempah.

Hamper tersebut mengandungi halwa, teh, cookies, kordial dan pelbagai biskut mengunakan roselle seperti suji, almond london, biskut kelapa dan biskut irfan dan tart .

Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 019-6964038 atau 012-2661812 pada harga antara RM18 dan RM150 bergantung kepada kuantiti dan jenis barangan.

Mengenai harapannya pada masa akan datang, Rohayu memberitahu beliau bercita-cita untuk mengeksport produk yang dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang tetapi buat masa ini masih banyak perlu dilakukan ke arah itu.

Ketika ini beliau sedang mempromosi Planet Roselle sebagai jenama produk keluaran syarikatnya.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 019-622 4566 atau 012-3157930 atau e-mel : sabdariffa2005@yahoo.com.my

-Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment